Thursday 28 July 2011

Firdaus Kamsani Juga Menangis Part 1

Ahad, 31 Julai 2011, 10.15 PM, Lapangan Terbang Haneda, Tokyo.

Firdaus Kamsani merenung jam di tangan. Jam tangan Fossil berwarna coklat miliknya menunjukkan tepat jam 10.15 malam waktu tempatan yakni GMT+9. Suasana hingar-bingar di Lapangan Terbang Haneda. Pelbagai aksi dan ragam manusia dari seluruh pelusuk dunia dapat dilihat. Ada yang berlari-lari anak sambil menarik bagasi, ada yang berjalan berpelukan seperti tidak mahu berpisah, ada yang berjalan lesu lantaran baru tiba, dan tidak kurang juga pramugari-pramugari bertubuh solid yang berjalan dengan lenggang-lenggok tersendiri.

"Milah, abang rasa kita dah boleh gerak ke departure area ni", Firdaus Kamsani berkata sambil memandang wajah isterinya, Siti Jamilah.

"Urmm..ok", jawab Siti Jamilah ringkas sambil menganggukkan kepalanya. Mulutnya semakin kelu untuk petah berkata-kata lantaran menahan sebak di dada. Siti Jamilah diulit kesedihan. Hatinya begitu sebak untuk meninggalkan suaminya seorang diri di negara matahari terbit itu. Apatah lagi tatkala Ramadhan mula membuka tirainya.

Kedua-dua mereka bangun daripada tempat duduk di bahagian menunggu. Firdaus Kamsani menarik bagasi yang terisi dengan pakaian isterinya serta cenderamata buat kaum keluarga di tanah air, Malaysia. Sebelum memulakan langkah, Firdaus Kamsani menghulurkan tangannya kepada Siti Jamilah. Siti Jamilah menyambut tangan suaminya dengan senyuman nipis.

Mereka berdua berjalan mengatur langkah menuju ke arah International Departure. Kedua-dua mereka hanya diam menahan sebak di hati masing-masing. Namun, Firdaus Kamsani cuba berlagak tenang. Bukan kerana ego seorang lelaki, tetapi tidak mahu mengheret isterinya untuk turut sedih bersamanya. Perasaan sebak disimpan jauh di sudut hati lelakinya. Biarpun terkadang hatinya menangis, bibirnya tetap ceria menguntum senyum.

'Aku harus kuat!', bisik hatinya.

"Milah, nanti dekat Malaysia, jaga diri elok-elok ye. Jangan nak drive sangat, nanti abang risau. Milah satu-satunya isteri abang, ingat tu!", Firdaus Kamsani menasihati isterinya dengan tegas. Dek kerana tiga rekod kemalangan yang pernah dicatatkan dalam sejarah lesen P Siti Jamilah, Firdaus Kamsani begitu gusar akan keselamatan isterinya setiap kali isterinya memandu kereta.

"Ok abang. Kalau macam tu, Milah naik train je", jawab Siti Jamilah sambil memandang tepat wajah suaminya. Wajah yang bakal dirinduinya kelak.

"Naik train pun tak boleh. Bahaya. Kat Malaysia tu bahaya. Jangan keluar sorang-sorang. Keluar dengan mama ngan abah je", jawab Firdaus Kamsani sambil tersenyum berlagak menggunakan kuasa vetonya memberi arahan.

"Kalau nak keluar dengan kawan-kawan........macam mana? Boleh la abang, pleaseeee....", Siti Jamilah cuba merayu sambil mendongak tajam ke arah suaminya. Gayanya tidak ubah seperti anak kecil yang merengek minta dibelikan ais krim.

"Kalau kawan-kawan ajak keluar, suruh diorang datang jemput Milah kat depan rumah, pastu hantar balik pun macam tu jugak. Ok? Jangan naik train sorang-sorang. Abang tak benarkan. Nanti kalau apa-apa jadi kat isteri abang, abang yang rasa sakit, bukan diorang", balas Firdaus Kamsani sambil menatap mata isterinya. Wajah Siti Jamilah direnung sepuas-puasnya. Mahu sahaja dia merangkul isterinya dan berlari membawa isterinya pulang semula ke rumah, tetapi undang-undang dunia membataskan segalanya.

"Hait..wakatta!", jawab Siti Jamilah sambil tersengih menganggukkan kepalanya. Sengaja di jawab dalam bahasa jepun untuk menunjukkan kepada suaminya, kebolehannya berkomunikasi dalam bahasa tersebut.

Kedua-dua mereka tertawa. Perasaan sedih diketepikan seketika. Setelah beberapa ketika, mereka semakin menghampiri pintu masuk untuk berlepas. Mereka memberhentikan langkah. Siti Jamilah memusingkan badannya menghadap ke arah suaminya. Tangannya dihulur untuk bersalam. Firdaus Kamsani menghulur lembut tangannya. Lalu, Siti Jamilah tunduk mencium tangan suaminya. Tangan yang berkerja keras mencari wang di bumi sakura.

"Abang pun jaga diri baik-baik ye. Jangan nak horny-horny sangat", Siti Jamilah cuba berseloroh sambil mengangkat muka. Mereka tertawa lagi. Sengaja Siti Jamilah berkata sedemikan. Dia cuba menutupi sebak di hatinya yang kian bergelora.


Pandangan mereka bertentangan. Jejari mereka saling mengusap antara satu sama lain. Masing-masing mengukirkan senyuman di bibir. Senyuman yang cuba menyembunyikan kesedihan. Namun, bebola mata mereka tidak dapat menyembunyikan rasa hati mereka yang sebenar. Pandangan mereka sayu tatkala mata bertentang mata. Firdaus Kamsani mengucup lembut dahi isterinya. Lantas, mereka berpelukan seketika. Erat.

"Abang, Milah masuk dulu ye. Selamat berpuasa sayang. Daaaa", ucap Siti Jamilah dengan nada lembut. Siti Jamilah melambai suaminya sambil menarik bagasi. Senyuman terukir di bibirnya.

"Bye sayang", Firdaus Kamsani menjawab perlahan. Beliau turut senyum sambil membalas lambaian isterinya.

Sebaik melangkah masuk melepasi departure gate, air mata Siti Jamilah mula bercucuran laju. Air mata yang di tahan sejak sekian lama. Siti jamilah tidak mampu lagi menoleh ke belakang untuk melihat suaminya. Dia melangkah laju, selaju air mata yang keluar daripada kelopak matanya.

Firdaus Kamsani masih lagi berdiri memandang isterinya melangkah pergi. Apabila kelibat isterinya hilang daripada pandangan, Firdaus Kamsani lantas memusingkan badan mengatur langkah untuk beredar. Sejurus langkah di atur, air mata jantannya mula megalir keluar. Kini, dia sendirian. Tiada lagi Siti Jamilah yang akan menemani hari-harinya di bumi sakura. Siti Jamilah. Gadis yang membuatnya tersenyum. Gadis yang mebuat kepalanya pening dengan karenah yang adakalanya seperti anak kecil. Gadis yang membuatnya tertawa. Dan hari ini, Siti Jamilah, gadis yang membuatnya menangis.

Sayup-sayup kedengaran takbir raya berkumandang di dada langit Tokyo. Air mata jantannya terus mengalir laju. Ouhhh!

2 comments:

Nadia Zaidan said...

alo cian firdaus...
tp mcm cite ko jer..hehe.. pape pun bersabar je la.. hehe

safwa_khairul said...

@Daira Nadia
Kebetulan same kot..haha..iye2 aku sabar..eh, aku tolong jawab bagi pihak siti jamilah. hehe