Sebaik melangkah masuk melepasi Departure Gate, Siti Jamilah tidak lagi menoleh ke belakang melihat Firdaus Kamsani. Siti Jamilah mempercepatkan langkah ke arah Kaunter Imigresen. Pasportnya dihulur sambil air mata bergenangan. Setelah pasportnya diperiksa dan dicop oleh Pegawai Imegresen berbangsa Jepun, Siti Jamilah menarik laju bagasinya menuruni eskalator.
Setibanya di aras bawah, kedai-kedai bebas cukai mula kelihatan. SKII, Shiseido, Coach, Gucci dan sebagainya mula melambai lembut ke arah Siti Jamilah. Namun, Siti Jamilah tidak mempedulikan semua itu. Mata Siti Jamilah melilau mencari kerusi untuk duduk.
Tidak jauh dari tempat Siti Jamilah berdiri, terdapat satu ruang yang disediakan untuk penumpang-penumpang menunggu. Terdapat banyak kerusi disediakan. Beberapa individu sedang duduk menunggu di situ sambil asyik menonton paparan TV LCD yang disediakan. Siti Jamilah berjalan menuju ke arah kerusi yang paling hujung dan paling lengang. Port baik punya. Cantekkk!
Siti Jamilah segera melabuhkan punggungnya di atas kerusi empuk bewarna hitam itu. Kedua-dua tangannya ditekapkan ke mukanya. Air matanya bercucuran laju. Dia ingin melepaskan kesedihannya. Siti Jamilah terus menangis sendirian tanpa menghiraukan sekelilingnya.
'Ahhh..persetankan mata-mata yang memandang', bisik hati kecilnya.
Seketika kemudian, aiponfor miliknya bebunyi. Terdapat panggilan masuk daripada Firdaus Kamsani. Siti Jamilah menarik nafas dalam-dalam sebelum menjawab panggilan tersebut. Suaranya harus di'tune'kan kepada nada normal.
"Ehemmm..hellooooo", jawab Siti Jamilah dengan gaya-gaya ceria. Cuba menyembunyikan nada sebaknya.
"Milah kat mana dah tu? Mesti tengah jalan-jalan kat kedai kat bawah tu kan?", tanya Firdaus Kamsani
"Ohhh..Milah tengah duduk-duduk je ni. Rest kejap",
"Kenapa tak jalan-jalan?", tanya Firdaus Kamsani lagi.
"Kejap lagi la. Saje nak duduk-duduk dulu. Kaki Milah sakit sikit ni", Siti Jamilah cuba memberi alasan.
"Ohh..Milah jaga diri elok-elok tau. Nanti dah masuk dalam flight bagitau abang ye", suara Firdaus Kamsani kedengaran sebak. Ada getar di hujung suaranya.
"I miss you sayang..love you", ucap Firdaus Kamsani perlahan. Kedengaran bunyi hingus di hela nafasnya.
"Ok sayang..love you too. Bye", Siti Jamilah menjawab ringkas sambil menyeka air matanya.
*****
Khamis, 18 Ogos 2011, 12.45 AM, Malaysia
"Tik tik tik", bunyi jam berdetik di bilik Siti Jamilah memecah keheningan malam. 17 hari telah berlalu. Waktu yang bergerak terasa begitu perlahan.
Siti Jamilah resah tidak dapat melelapkan mata. Perasaan rindu semakin kuat mencengkam tatkala hening malam melebarkan sayapnya. Siti Jamilah memusingkan badannya ke arah kanan. Dinding kosong rumahnya ditatap. Kemudian muncul wajah Firdaus Kamsani sedang senyum ke arahnya di dinding itu. Sejurus kemudian, Siti Jamilah memusingkan pula badannya ke arah kiri. Muncul pula wajah Firdaus Kamsani sedang tidur lena di dinding sebelah kiri. Resah. Siti Jamilah kemudian baring menelentang menghadap syiling. Dia masih gagal melelapkan matanya. Di syiling itu, kelihatan wajah Firdaus Kamsani sedang menjelir lidah kepadanya, sambil tersengih-sengih nakal.
"Huhhh...", Siti Jamilah mengeluh perlahan.
Lantas, ditarik selimut menyelubungi mukanya. Muncul pula bayangan dia dan Firdaus Kamsani bergurau-senda di bawah satu selimut seketika dulu. Arghhh! Gertak hatinya.
"Ya Allah..permudahkan lah segala urusan kami", Siti Jamilah berdoa di dalam hatinya. Mudah-mudahan urusannya mendapatkan Certificate Of Eligibility daripada kerajaan Jepun dipermudah dan dipercepatkan. Tidak sanggup lagi dia berjauhan terlalu lama dengan suaminya.
Siti Jamilah pejam mata rapat-rapat. Saat matanya terpejam, kelihatan Firdaus Kamsani sedang mengenyit-ngenyitkan matanya ke arah Siti Jamilah. Siti Jamilah senyum sinis dengan diri sendiri.
Dalam keresahan itu, Siti Jamilah akhirnya tertidur sambil ditemani bayang Firdaus Kamsani dalam pejaman matanya.
No comments:
Post a Comment